Wednesday, July 1, 2009

Tips Mengurus Kewangan Anda..

PENGENALAN Mengurus wang anda membolehkan matlamat kewangan anda tercapai seperti membeli rumah, menyimpan wang untuk membiayai pelajaran anak-anak atau merancang untuk persaraan. Apa yang perlu hanyalah membuat sedikit perancangan dan mengurus hal kewangan anda dengan betul. Halaman web ini memberi panduan kepada anda tentang prinsip-prinsip asas belanjawan dan membolehkan anda mengorak langkah ke arah kebebasan kewangan melalui tip-tip perancangan kewangan. PERANCANGAN KEWANGAN YANG BAIK Bank Negara Malaysia menerusi Program Pendidikan Pengguna yang bertujuan meningkatkan tahap celik kewangan pengguna juga menitikberatkan amalan perancangan kewangan yang baik dan tabiat menyimpan wang khususnya di kalangan pelajar sekolah, kaum wanita dan golongan pekerja.
SELANGKAH DEMI SELANGKAH KE ARAH AMALAN PERANCANGAN KEWANGAN YANG BAIK Perancangan kewangan adalah penting, walau banyak mana sekalipun pendapatan kita. Rahsianya ialah mengetahui di mana anda sekarang, hendak ke manakah anda pada masa hadapan dan bagaimana untuk sampai ke sana. Anda boleh menambah nilai wang anda jika anda dapat mempelajari bagaimana untuk menguruskannya secara berhati-hati, seperti:
• Mengetahui apa hendak dibuat dengan wang anda
• Mengetahui ke mana perginya wang anda
• Mengenal pasti tabiat anda berbelanja
• Membentuk satu rancangan perbelanjaan yang cermat
• Berbelanja secara berhemat dan mengikut kemampuan anda
• Menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk masa depan anda
Pandangan semua ahli keluarga khususnya anak-anak, hendaklah diambil kira semasa membuat keputusan berhubung dengan perancangan kewangan anda. Ini akan menjadikan anda lebih akur dengan rancangan perbelanjaan anda dan juga membantuanak-anak membentuk kemahiran dalam hal perancangan kewangan pada peringkat umur yang masih muda lagi. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil dalam merancang kewangan anda: Langkah 1 - Menentukan Matlamat Kewangan Anda Menentukan matlamat kewangan dapat membantu orang ramai baik yang muda mahupun yang dewasa untuk mempelajari nilai wang. Matlamat kewangan mencerminkan apa yang anda hendak lakukan dengan wang anda dalam satu jangka masa tertentu. Penentuan matlamat akan mendorong anda berbelanja dan menyimpan wang mengikut kaedah yang akan membolehkan matlamat anda tercapai. Setiap keluarga menentukan matlamat dan merancang hal kewangan mereka berasaskan kepada penilaian masing-masing. Walau apa pun jua penilaian mereka
sekeluarga, rancangan kewangan mereka adalah merupakan suatu ekspresi tentang apa yang paling penting bagi mereka. Umumnya matlamat-matlamat ini meliputi:
• Membeli rumah
• Membeli kereta
• Berkahwin
• Pelajaran anak-anak
• Percutian
• Persaraan
• Perbelanjaan perubatan
Penentuan beberapa siri matlamat peribadi akan membantu anda untuk mengurus wang anda dengan berhemat. Matlamat anda boleh berubah dari semasa ke semasa, namun ia mampu memberi dorongan dan insentif kepada anda agar terus membuat perancangan kewangan.
Anda harus merancang untuk:
• Matlamat Jangka Pendek Perkara yang boleh dilakukan dalam tempoh yang terdekat. Mungkin dalam tempoh seminggu atau beberapa bulan, tetapi tidak melebihi setahun seperti membeli pakaian baru atau menyimpan wang untuk percutian.
• Matlamat Jangka Sederhana Perkara yang boleh dibuat dalam tempoh satu hingga lima tahun seperti membeli sebuah kereta atau sebuah komputer.
• Matlamat Jangka Panjang
Perkara-perkara yang diharapkan boleh dicapai tetapi mengambil masa yang lebih lama lagi misalnya dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, seperti membeli rumah, menyimpan wang untuk pendidikan anak-anak di peringkat yang lebih tinggi. Peruntukan wang simpanan ke arah matlamat-matlamat ini bergantung kepada beberapa faktor yang seterusnya akan menentukan pilihan pelaburan anda.
Oleh itu, adalah penting matlamat-matlamat ini disenaraikan mengikut keutamaan. Amaun yang diketepikan untuk memenuhi matlamat ini berbeza daripada satu individu kepada individu yang lain dan faktor-faktor yang diambil kira adalah termasuk faktor usia, tahap pendapatan, perbelanjaan, jumlah tanggungan, status pekerjaan dan taraf perkahwinan. Langkah 2 - Menjejaki Ke Mana Perginya Wang Anda Setelah anda menentukan matlamat anda, anda mungkin berasa mustahil untuk mencapainya, lebih-lebih lagi jika anda mendapati tiada lagi yang tinggal apabila tiba cukup bulan. Sekiranya anda membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik, matlamat anda akan menjadi mudah tercapai berbanding apa yang anda jangkakan. Walau bagaimanapun, sebelum anda membentuk rancangan perbelanjaan, anda perlu menjejaki dahulu ke manakah perginya wang anda. Ini boleh dilakukan dengan merekod setiap perbelanjaan yang dibuat bagi sesuatu tempoh contohnya lapan minggu. Ini bukan bertujuan menyekat perbelanjaan anda tetapi mengenal pasti hala tuju perbelanjaan anda.
Dengan ini, anda akan mengetahui:
• Ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda
• Berapa banyakkah anda berhutang setiap bulan
• Berapa banyakkah yang masih tinggal pada akhir bulan
Langkah 3 - Menilai Cara Anda Berbelanja Jika anda mendapati bahawa anda tidak mempunyai apa-apa baki pada akhir bulan, barangkali anda perlu menilai cara anda berbelanja. Anda perlu meneliti senarai perbelanjaan anda untuk memastikan sama ada kesemuanya adalah benar-benar perlu atau merupakan perbelanjaan yang anda boleh kurangkan atau tiadakan. Berikut adalah tip-tip bagaimana anda boleh menjadikan perbelanjaan anda lebih menjimatkan:
• Semak senarai barangan isi rumah yang anda beli untuk meneliti sama ada jenamanya boleh ditukar ke jenama yang lebih murah (seperti kertas tisu tandas, serbuk pencuci, cairan pembersih dan sebagainya)
• Semak senarai keperluan barang-barang dapur anda untuk mengenal pasti barangan yang "elok ada" tetapi sebenarnya tidak diperlukan
Anda juga sepatutnya mengenal pasti isyarat amaran mengenai tabiat anda berbelanja yang tidak sihat yang boleh membawa kepada masalah kewangan:
• Menggunakan wang simpanan untuk membayar bil semasa
• Melengahkan pembayaran bil-bil yang selalunya dibayar sebelum tarikh tamat
• Membuat pinjaman baru untuk melunaskan pinjaman lama
• Menangguhkan pembayaran balik pinjaman anda
• Memilih untuk membayar secara ansuran apabila membeli barangan harian untuk isi rumah
• Pembayaran melebihi pendapatan pada akhir bulan
• Membeli mengikut gerak hati walaupun anda tahu bahawa anda tidak mampu membelinya
Bagi membantu menyemai sifat-sifat berdisiplin di dalam cara anda berbelanja, anda perlu merangka rancangan perbelanjaan anda dan akur kepadanya.
Langkah 4 - Menulis Rancangan Perbelanjaan Anda Dengan mencatatkan aliran wang masuk dan wang keluar, anda dapat menghalakan tumpuan ke bahagian di mana perbelanjaan sudah menjadi tidak terkawal dan juga bagi memberi ruang kepada anda untuk menyimpan pula. Sekiranya pendapatan anda melebihi perbelanjaan, anda akan dapat mengetepikan wang untuk rancangan simpanan demi mencapai matlamat kewangan anda. Di bawah ini adalah panduan bagaimana untuk merangka satu rancangan perbelanjaan bertulis:
i. Tentukan berapakah pendapatan bulanan anda

ii. Campurkan semua jumlah perbelanjaan termasuk bil bulanan tetap, bayaran balik pinjaman, sewaan, perbelanjaan keperluan harian dan sebagainya
iii. Ketepikan sejumlah wang yang tetap yang mencukupi untuk membiayai keperluan di waktu kecemasan atau belanja bermusim (seperti yuran sekolah, cukai jalan, pembaharuan insurans dan sebagainya)
Sekiranya terdapat lebihan setelah menolak perbelanjaan anda maka semakin hampirlah anda ke matlamat anda. Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula pola perbelanjaan anda dan mengurangkan mana-mana perbelanjaan yang tidak perlu. Jangan menyifatkan rancangan perbelanjaan anda sebagai batasan yang mengikis keseronokan dalam hidup anda. Belanjawan yang mencapai matlamatnya sebenarnya dapat membebaskan dana dan membantu anda mencapai peningkatan matlamat kebebasan kewangan buat masa sekarang dan pada masa akan datang. ALAT PERANCANGAN KEWANGAN Setelah mengetahui manfaat daripada perancangan kewangan, anda barangkali memerlukan satu lagi perkara untuk memulakannya. Bank Negara Malaysia telah menghasilkan buku-buku berikut untuk panduan anda dan keluarga anda:
• Buku Wang Saku Buku Wang Saku ialah alat yang digunakan oleh pelajar sekolah untuk mempelajari dan mengamalkan pengurusan hal kewangan peribadi dengan merekod wang masuk, perbelanjaan dan simpanan. Buku Wang Saku diedarkan di bawah Program Sekolah Angkat oleh institusi-institusi perbankan. Harga senaskhah buku ini ialah RM1
• Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga ini dirangka untuk membantu golongan dewasa dan ahli keluarga mereka. Buku ini dihasilkan untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan pelaburan peribadi di peringkat isi rumah. Satu seksyen mengenai konsep perancangan dan belanjawan, yang merupakan satu ciri penting dalam pengurusan akaun isi rumah, turut dimasukkan.
MELABURKAN WANG ANDA Sekiranya anda mempunyai wang lebihan pada setiap hujung bulan atau anda mempunyai sejumlah wang simpanan, anda mungkin ingin melaburkannya untuk mendapatkan pulangan maksimum ke atas pelaburan tersebut. Bagi pelabur yang bijak, kebanyakan mereka menyimpan wang yang cukup di dalam produk simpanan untuk keperluan masa kecemasan dan melaburkan bakinya untuk mendapat pulangan maksimum. Untuk menentukan jenis pelaburan yang sesuai dengan anda, anda mungkin ingin mengambil kira faktor-faktor berikut:
• Matlamat dan keperluan Anda mungkin mempunyai matlamat dan keperluan tertentu yang anda ingin capai hasil daripada pelaburan anda. Contohnya, anda mungkin ingin membiayai pelajaran anak-anak anda di kolej, membesarkan perniagaan, rancangan perjalanan atau memenuhi keperluan persaraan.

• Umur Umur anda adalah faktor penting dalam menentukan sebanyak mana risiko yang sedia anda tanggung. Portfolio aset yang lebih berisiko dan sentiasa berubah-ubah dari semasa ke semasa mungkin lebih sesuai untuk pelabur golongan muda tetapi tidak semestinya untuk mereka yang menghampiri usia persaraan.
• Pendapatan Jumlah pendapatan dan keperluan pendapatan anda kedua-duanya akan mempengaruhi objektif pelaburan anda.
• Pekerjaan Pekerjaan anda juga akan memberi kesan kepada objektif portfolio pelaburan. Contohnya, adakah pekerjaan anda sekarang menyediakan pelan persaraan yang mencukupi atau adakah anda perlu menyediakan dana persaraan daripada simpanan, deposit tetap dan lain-lain portfolio pelaburan anda.
• Kekayaan Objektif pelaburan juga harus mengambil kira aset yang anda miliki di luar portfolio pelaburan. Jenis-jenis aset yang anda pegang akan mendatangkan impak kepada tahap risiko yang sedia ditanggung oleh anda. Simpanan dan deposit tetap adalah paling rendah risikonya diikuti oleh wang dalam bentuk bon-bon gred pelaburan, manakala melabur dalam ekuiti melibatkan tahap risiko yang lebih tinggi. Di Malaysia, pasaran bon tidak mudah diakses oleh orang ramai dan anda memerlukan wang yang banyak untuk membeli bon-bon ini. Pelabur yang berminat untuk melabur dalam bon bolehlah berbuat demikian, misalnya, melalui amanah saham yang berhubung kait dengan instrumen berpendapatan tetap.
• Ufuk masa Salah satu faktor yang penting dalam menetapkan objektif pelaburananda ialah ufuk masa. Bilakah anda ingin mencairkan portfolio pelaburan anda? Anda perlu memilih tempoh matang aset-aset di mana anda bercadang untuk melabur.
• Kecairan Kecairan ialah semudah mana anda boleh mencairkan aset anda kepada tunai pada nilai pasaran yang berpatutan. Apa yang penting, anda hendaklah menentukan keperluan anda untuk menukarkan aset-aset anda kepada tunai pada masa yang sesuai.

• Simpanan dan deposit tetap adalah paling cair dan boleh ditukarkan dengan wang tunai pada bila-bila masa tanpa kerugian modal
• Bon dan dana amanah saham tidak secair simpanan dan pelabur boleh mengalami kerugian modal mengikut harga pasaran bon atau amanah saham
• Harga ekuiti lebih mudah berubah dan mempunyai tahap kecairan berbeza-beza. Ianya tidak seharusnya dipertimbangkan untuk pelaburan jangka pendek
• Harta benda pada amnya adalah aset tidak cair

• Kesediaan untuk menerima risiko Adalah penting untuk anda menilai adakah anda selesa menghadapi turun naik pasaran dan sejauh manakah anda bersedia untuk berdepan dengannya.
Sekiranya anda tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang pelaburan yang akan dibuat, anda mungkin ingin meminta nasihat daripada penasihat pelaburan yang bertauliah untuk menasihati anda bagaimana wang anda boleh dilaburkan.

No comments:

Post a Comment

Klip Video Munajat Cinta - The Rock